kumpul duit...sila klik!

2011-07-02

Hati itu Lembut

“Tau kenapa kawan awak tu boleh menangis? Dia menangis kerana hatinya lembut,” kata seorang pak cik penjual kitab di bawah payung putih (ada yang panggil Starbuck). Mukadimah untuk sebuah kisah yang berlaku di suatu petang yang indah.

Akmal dan Nurul merupakan dua sahabat yang sama-sama menjalankan latihan industri/internship di sebuah syarikat milik penuh universiti setelah menamatkan sesi kuliah selama 4 tahun di UMP. Pukul 5.30 petang, mereka berdua berjalan beriringan menuju Kolej Kediaman 3 setelah selesai menjalankan kerja pada hari tersebut. Tertarik melihat pelbagai barangan jualan, mereka memutuskan untuk singgah sebentar di gerai jualan.

“Awak nak beli apa-apa ke? Saya tak bawa duit pulak kalau nak beli buku,” kata Akmal. “Saya nak try cari buku surah-surah pilihan la kalau ada kat sini,” balas Nurul. Mereka pun melihat dan membelek pelbagai buku yang ada disitu.

“Ha, ni la buku yang saya cakap tu. Mak saya pesan suruh beli sebab nak bagi pada adik beradik saya yang lain,” tunjuk Nurul. “Oo…beli lah kalau macam tu,” cadang Akmal.

Nurul sudah mengambil 3 buah buku yang mengandungi surah-surah pilihan tersebut dan menyediakan duit untuk membayarnya.

“Anak tau tak, pak cik selalu menjual kitab-kitab ini di serata tempat”, cerita pak cik penjual. Cerita pak cik lagi, pernah suatu masa ketika menjual kitab-kitab ini di UIA Kuantan, beliau didatangi seorang gadis (pelajar UIA Kuantan) untuk menceritakan tentang hikmah yang terkandung dalam pengamalan ayat-ayat suci al-Quran. Kata gadis itu, saya dulu mempunyai seorang adik yang suka memberontak dan tidak menghormati ibu bapanya. Gadis ini kemudian meminta ibunya selalu berdoa dan membaca al-Quran. Berkat hikmah si gadis menasihati dan mendoakan adiknya, Allah mengabulkan doa mereka dan adiknya menjadi orang yang sangat menjaga adab dan mengasihi ibu bapanya.

“Anak nak tau, gadis tu sempat ajarkan pak cik. Katanya, pak cik nak tak ayat amalan yang boleh buat pak cik redha dengan Allah dan telinga pak cik jadi tuli dan tak marah walaupun mendengar pelbagai kata-kata umpatan orang kepada pak cik?,” cerita pak cik penjual lagi.

Akmal dan Nurul membisu. Masing-masing tidak tahu ingin memberi respon lagi. Dalam hati, keduanya masih memikirkan tentang solat fardhu Asar yang belum lagi ditunaikan. Sesaat.Dua saat.

Terus pak cik penjual lagi,”Pak cik bersyukur diajarkan oleh gadis itu. Pak cik rasa alangkah baiknya kalau pak cik tau tentang amalan tu sejak pak cik muda lagi. Tak salah belajar dari orang muda kerana mungkin orang muda sekarang lebih banyak ilmu pengetahuan berbanding orang-orang tua yang asyik melepak di kedai kopi”.

Dua sahabat, Akmal dan Nurul Cuma mengangguk. “ Anak amalkan ayat-ayat al-Quran ini setiap hari, insyaAllah anak akan meredhai segala yang Allah tentukan untuk hidup nanti,”nasihat pak cik lagi.

“ At-Taubah:51, Yunus:107, Hud:6, Hud:56, Ankabut:61, Fatir: 2 dan Az-Zumar:38, Anak amalkan 7 ayat ini. Hafal dan fahami maksudnya,” petah pak cik melafazkan ayat-ayat suci al-Quran itu.

“Terima kasih pak cik sebab berkongsi tentang 7 ayat ini, insyaAllah kami Cuma mengamalkannya,” kata Akmal.

“Anak masih ada ibu dan ayah?” soal pakcik. Sambung pak cik, “ Selalu la balik menjenguk dan melayani ibu bapa dengan baik. Mereka merupakan insan yang banyak berkorban untuk kita. Jangan lupa selalu berdoa untuk ibu bapa. Doa kita yang selalu diharapkan oleh mereka.

Saat itu, Nurul mula merasa sebak. Mungkin pemergiaan ayahnya kira-kira setahun yang lalu akibat penyakit buah pinggang menerjah di ingatan. Tidak dapat menahan lagi perasaan, air matanya mengalir tanpa memikirkan pak cik penjual kitab dan siswa-siswi yang lalu lalang. Dia duduk di bangku merah dan membiarkan Akmal mendengar lagi tazkirah daripada pak cik penjual kitab itu. Segala kenangan dan pergorbanan ayahnya menerawang dimindanya.

Pak cik penjual akhirnya mematikan bicara kira-kira 20 minit selepas Nurul menangis. Doa pak cik, semoga anak-anak menjadi anak yang solehah.

Di perjalanan menuju Blok C5…

“Rasa macam blur je time pak cik tu nasihat tadi,” komen Akmal. “ Saya pun tak tahu kenapa boleh menangis, mungkin sedih bila dia sebut pasal ibubapa tadi,” balas Nurul.

Renungan
Apabila meninggalnya anak adam itu, maka terputuslah segala yang ada padanya melainkan 3 perkara;
1)        Ilmu yang bermanfaat
2)      Pahala dari sedekah dan amal jariah
3)      Doa anak yang soleh

TAMAT

Kehidupan diteruskan bagi yang masih bernyawa. Dan yang meninggal itu, juga masih meneruskan perjalanan. Perjalanan menuju kehidupan yang abadi di Akhirat kelak. Dan sungguh beruntunglah bagi manusia yang sedar bahawa hidup di dunia ini cuma bekalan untuk dibawa ke akhirat sana.

“Ya Allah, ampunkanlah dosa-dosaku dan dosa kedua orang tuaku dan kasihanilah mereka sepertimana mereka mengasihaniku semasa aku kecil.” Ameen.

Syukran Allah kerana mengurniakan sebaik-baik ibu dan ayah untuk saya di dunia ini.